
Apa tu tonsil?
Tonsil (amandel) ni adalah sepasang tisu/daging (lymphoid tissue) dalam tekak yang tugas utamanya untuk hasilkan sel sel darah untuk melindungi sistem imuniti badan kita.
Bila disarankan buang tonsil (tonsillectomy/ operasi amandel)?
1. Kerap demam, batuk, selsema dan sakit tekak yang memerlukan antibiotic yang berpanjangan. Kekerapan? Setiap sebulan/2-3 bulan sekali.
2. Berdengkur disebabkan tonsil yang besar.
3. Tekak bernanah (peritonsillar abscess)/Bau mulut busuk disebabkan tahi mulut (tonsillolith)
Berapa jam prosedur buang tonsil?
Prosedur dilakukan dengan bius penuh (ditidurkan oleh pakar bius), biasanya dalam lingkungan 30-60minit sahaja.
Macamana pakar bedah ENT buang tonsil?
Pembedahan dilakukan melalui mulut, mouth gag dimasukkan untuk membuka mulut. Tonsil dikeluarkan dengan beberapa teknik contohnya cold instrument (alatan besi) atau powered instrument (e.g. BiZact). Pendarahan di berhentikan dengan diathermy sebelum pesakit dikejutkan dari tidur.
Klik sini untuk tahu dengan lebih lanjut tentang alat pembedahan tonsil/operasi amandel.


Adakah tonsil dibuang dengan laser?
Jarang-jarang laser digunakan untuk tonsillectomy, tetapi pernah digunakan oleh Pakar ENT di serata dunia. Banyak alat lain yang lebih mudah dan selamat untuk digunakan berbanding laser.
Risiko komplikasi pembedahan tonsillectomy?
1. Pendarahan selepas pembedahan merupakan risiko terbesar. Banyak cara digunakan oleh pakar ENT untuk mengelakkan/mengurangkan risiko pendarahan (ada dijelaskan di bawah)
2. Kecederaan/luka kecil pada bibir, gigi, lidah dan lelangit (palate).
3. Velopharyngeal insufficiency (VPI), iaitu air yang diminum keluar melalui hidung. Risiko VPI amat rendah, dan biasanya berlarutan untuk seminggu dua.
Berapa lama kena stay di hospital lepas pembedahan?
Kebanyakan pesakit dibenarkan pulang sehari selepas pembedahan jika pesakit tiada pendarahan, tak demam, sakit terkawal dan dapat makan makanan lembut/minum dengan baik. Jumlah hari yang kena stay di hospital adalah minimum 3 hari sahaja.
Berapa lama akan sembuh selepas pembedahan?
Biasanya 1-2 minggu untuk sembuh sepenuhnya, dan boleh bersekolah seperti biasa.
Pantang larang selepas buang tonsil?
1. Jangan makan makanan yang keras, pedas dan panas selama seminggu untuk kurangkan risiko pendarahan.
2. Habiskan ubat antibiotik yang diberikan.
3. Jangan tak makan ya… Memang kena paksa pesakit makan dan telan walaupun sakit, doktor biasanya akan beri ubat tahan sakit yang mencukupi. Proses kunyah dan telan makanan akan mempercepatkan luka tonsil sembuh.
Bila pesakit nak kena pergi hospital semula selepas pembedahan?
Biasanya doktor akan jumpa balik pesakit 2 minggu selepas pembedahan. Tetapi jika ada pendarahan/bertambah sakit di tekak sehingga tidak dapat makan atau minum/demam, kena datang SEGERA ke hospital.
Betul ke sistem immune badan akan kurang lepas buang tonsil?
Tidak, kerana badan kita mempunyai banyak lagi lymphoid tissue di seluruh badan selain di tekak. Maka jangan risau tentang sistem immune badan anda ya;)

Suara berubah ke lepas pembedahan?
Biasanya tidak, tetapi kemungkinan suara berubah sedikit masih ada (kedalaman suara) tetapi tidak kekal (1-2 minggu).
Ubat apa yang diberi lepas pembedahan?
Ubat yang biasa diberi ialah:
1. Ubat tahan sakit (tablet/syrup)
2. Antibiotik (seminggu)
3. Ubat kumur/spray tekak

Berapa harga perlu dibayar untuk pembedahan tonsil?
Harga di hospital kerajaan amat murah jika warganegara (mungkin kurang RM100). Untuk hospital swasta, jumlah bayaran keseluruhan dalam lingkungan RM10k – 15k.
Kebanyakan syarikat insurance cover pembedahan tonsil kerana penyakit ini disebabkan keradangan dan jangkitan tonsil yang berulang.
Ada soalan-soalan lain berkenaan tonsillectomy? Boleh email saya di drameenpakarent@protonmail.com
Klik sini untuk buat appointment tonsil dengan saya di Sunway Medical Centre Velocity

Klik sini untuk buat appointment tonsil dengan saya di Columbia Hospital Setapak































Leave a comment