
Mulut berbau (halithosis) boleh menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan dan merasa rendah diri. Ia selalunya disebabkan oleh faktor seperti gigi yang kotor, merokok, tahi gigi/mulut dan jangkitan sinus.
Berikut merupakan strategi untuk menjaga bau dan kebersihan mulut.
Kerap berus gigi
Berus gigi, paling kurang 2 kali sehari, menggunakan ubat gigi berfluorida. Jangan lupa untuk berus bahagian atas lidah juga dimana sisa makanan dan bakteria selalu terkumpul.


Floss gigi
Floss akan menyingkirkan sisa makanan yang sangkut diantara celahan gigi anda, bahagian di mana berus gigi tidak dapat mencapai. Ini membantu mengurangkan bau mulut yang tidak enak.

Sentiasa minum air
Minum air sekurang-kurangnya 2 liter sehari untuk membersihkan mulut rongga dan rongga saluran makanan dari sisa makanan dan bakteria. Mulut yang kering biasanya diterjemah kepada mulut yang berbau busuk.

Gunakan Pencuci/kumuran mulut
Pencuci mulut antibakteria boleh menghapuskan bakteria dalam mulut, dan ini boleh membantu untuk elakkan mulut daripada berbau busuk. Cuba gunakan pencuci mulut bebas alkohol untuk kurangkan risiko mulut kering.


Kunyah gula-gula getah (bebas gula)
Ini dapat merangsang pengeluaran air liur, yang secara aslinya akan membersihkan mulut dan mengurangkan bau busuk mulut.

Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan mulut berbau
Contohnya, bau bawang besar/merah dan bawang putih selalunya akan kekal di mulut selepas dimakan. Jika makanan ini dimakan, anda harus minum dengan kuantiti yang banyak untuk membersihkan mulut.

Keluarkan tahi mulut/batu tonsil
Batu tonsil (tahi mulut) boleh memerangkap bakteria dan menyebabkan mulut berbau amat busuk. Untuk mengeluarkannya, anda harus sentiasa berkumur menggunakan air garam. Jika tidak berjaya keluarkan, sila berjumpa dengan Pakar ENT untuk pertolongan.

Kawal masalah sinus anda
Jangkitan sinus boleh menyebabkan hingus jatuh ke belakang tekak (poat-nasal drip) yang akan menyebabkan bau busuk. Ubati dan kawal masalah sinus anda untuk mengurangkan bau busuk ini. Jika tidak pasti, boleh berjumpa dengan Pakar ENT untuk hilangkan masalah jangkitan sinus anda.

Jumpa doktor gigi
Sila berjumpa dengan doktor gigi anda sekurang-kurangnya 6 bulan sekali untuk pembersihan gigi anda, juga untuk membaiki/membuang gigi yang rosak (caries).

Berhenti merokok
Selalunya perokok mempunyai bau mulut yang amat busuk. Berhenti merokok merupakan satu cara yang paling efektif untuk hilangkan mulut berbau.

Dengan mengikuti langkah-langkah yang saya terangkan di atas setiap hari, anda akan dapat mengelakkan atau mengurangkan mulut berbau busuk, dan mengekalkan kebersihan mulut yang berpanjangan.

Untuk tempah slot appointment klinik dengan saya, sila klik sini (Sunway Velocity Medical Centre) atau sini (Columbia Setapak).































Leave a comment