
Hidung sumbat yang kronik akan menjejaskan kesihatan anda secara menyeluruh
Hidung sumbat yang kerap atau kronik adalah satu perkara yang tidak asing dikalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak. Biasanya hidung tersumbat hanyalah untuk sementara disebabkan jangkitan virus demam selsema, tetapi jika ia sumbat berpanjangan, ini mungkin disebabkan oleh masalah-masalah lain yang jarang kita sedar atau tahu secara mendalam mengenaninya. Jom kita lihat apa penyebab hidung sumbat yang kerap.
Punca lubang hidung sempit / hidung sumbat
Resdung
Penyebab utama kerap sumbat hidung ialah allergi hidung (resah hidung/resdung). Resdung di sebabkan oleh reaksi allergi badan terhadap allergen di persekitaran seperti debunga, debu, hama, bulu kucing ataupun kulat. Reaksi allergi ini menyebabkan keradangan hidung (bengkak) dan menghasilkan banyak hingus, sekaligus menyebabkan hidung tersumbat.

Sinus (Sinusitis)
Salah satu sebab lain hidung tersumbat adalah sinusitis (keradangan akut atau kronik rongga udara sinus). Bila rongga sinus tersumbat dan dipenuhi cecair hingus/nanah, ini akan menyebabkan hidung tersumbat, demam, berkahak di belakang tekak (post nasal drip), sakit kepala dan sakit bahagian muka (pipi dan dahi).

Masalah struktur hidung
Masalah seperti tulang rawan hidung (septum) yang bengkok dan bengkak polyp hidung akan menyebabkan hidung tersumbat yang berterusan. Keradangan tisu adenoid juga antara penyebab sumbat hidung yang berterusan, terutamanya dalam populasi kanak-kanak.



Faktor persekitaran
Terdedah kepada asap, bau busuk/tengik/wangi yang terlampau kuat dan persekitaran berhabuk adalah penyebab hidung sumbat yang kronik. Faktor persekitaran yang kurang baik ini akan menyebabkan keradangan hidung yang berpanjangan, dan ini menyebabkan pesakit susah bernafas dan boleh juga menyebabkan serangan asma.

Sebab-sebab lain:
1. Refluks asid perut
[Gastroesophageal Reflux Disease (GERD)/ Laryngopharyngeal Reflux (LPR)] – menyebabkan keradangan tisu tekak dan menghasilkan kahak pekat di belakang hidung.

2. Ubat-ubatan – Ada ubat yang menyebabkan hidung sumbat sebagai kesan sampingan contohnya ubat anti-depressi, ubat untuk tekanan darah dan ubat spray hidung (oxymetazoline) sekiranya digunakan dalam jangkamasa yang lama.

3. Perubahan hormon – biasanya terjadi pada perempuan yang mengandung (pregnancy rhinitis). Inilah sebab perempuan mengandung kerap mendapat hidung sumbat dan selsema berlebihan.

Kesimpulan
Hidung sumbat yang berterusan boleh mengganggu hidup anda jika tidak ditangani dengan segera. Ia dapat mengganggu tidur anda, fokus anda ditempat kerja dan kesihatan anda secara keseluruhan. Jika anda/anak anda mempunyai masalah hidung sumbat yang serius, amat penting untuk segera berjumpa dengan Pakar ENT agar masalah ini dapat ditangani dengan segera. Ini kerana masalah sumbat hidung yang kronik boleh menjejaskan masalah kesihatan lain (mental dan fizikal).
Untuk tempah slot appointment klinik dengan saya, sila klik sini (Sunway Velocity Medical Centre) atau sini (Columbia Setapak).
































Leave a comment