Dr Ameen

Ear, Nose & Throat Specialist KL

Medicine is our effort. Healing is God’s mercy

Doctor showing a patient an ear anatomy diagram during a clinic consultation

Tidak, anda tidak perlu mengorek atau membersihkan tahi telinga secara manual di rumah. Telinga manusia mempunyai mekanisme pembersihan semula jadi yang berkesan melalui pergerakan rahang semasa mengunyah. Mengorek telinga menggunakan putik kapas (cotton bud) atau pencungkil besi sebenarnya menolak tahi telinga lebih ke dalam, menyebabkan ia tersumbat, risiko mendapat jangkitan, dan berpotensi mencederakan gegendang telinga anda (berdarah, luka atau berlubang).

Close-up of dense brown earwax blocking the ear canal
Tahi telinga akan keluar sendiri melainkan ada jangkitan atau pengunaan harian ‘cotton bud’ yang boleh menyebabkan tahi telinga sumbat.

Apakah fungsi sebenar tahi telinga yang ramai orang tidak tahu?

Tahi telinga bukan sisa kotoran, tetapi sistem pertahanan biologi badan yang direka bentuk untuk melindungi saluran telinga anda.

  • Sifat kalis air: Menghalang kelembapan berlebihan daripada meresap ke dalam kulit saluran telinga.
  • Perlindungan antibakteria & antikulat: Mengandungi enzim yang menghalang pembiakan patogen berbahaya.
  • Pelincir semula jadi: Mencegah kulit halus di dalam telinga daripada menjadi kering, berkuping, atau gatal.
  • Perangkap habuk: Menangkap bendasing dan serangga kecil sebelum ia sampai ke gegendang telinga.

Mengapa mengorek telinga selepas mandi boleh menyebabkan masalah serius?

Kebiasaan mengorek telinga yang basah dengan alat yang tidak sesuai sering membawa padah yang tidak disedari oleh pesakit sehingga gejala menjadi kronik.

  • Kes putik kapas (cotton bud) berkualiti rendah: Pesakit yang menggunakan putik kapas bersaiz terlalu besar atau berkualiti rendah sering mengalami kapas yang terpisah daripada batangnya. Ia tersangkut bersama tahi telinga yang sedia ada, menyebabkan sumbatan telinga tanpa rasa sakit selama berbulan-bulan. Ini mengganggu mekanisme pembersihan semula jadi yang boleh membawa kepada jangkitan kuman & kulat di lubang telinga mereka. Saluran yang bengkak menjadikan pembersihan 100% lebih sukar dan 50% lebih lama untuk dibersihkan, kadang-kadang memerlukan sehingga 2 atau 3 sesi untuk pembersihan menyeluruh. Tisu granulasi (granulation tissue) yang berdarah apabila disentuh sering terbentuk, memerlukan ubat titik telinga antibiotik yang mengandungi steroid (seperti Cetraxal) dan ‘otowick’ (span mampat) untuk mengurangkan bengkak secara mekanikal.
  • Kes pencungkil logam: Penggunaan pencungkil besi untuk menghilangkan rasa gatal selepas mandi mencederakan lapisan epitelium saluran telinga. Kecederaan ini akan mengakibatkan jangkitan kulit teruk (otitis eksterna) yang memerlukan antibiotik oral dos tinggi dan ubat tahan sakit yang kuat selama 3 hari pertama. Jika tidak dirawat awal, ia boleh menyebabkan sumbatan saluran telinga yang teruk, dan bengkak kelenjar limfa di depan telinga dan leher, serta sakit leher yang ketara.
Tisu granulasi (warna merah) di dalam lubang telinga memang senang berdarah
Span otowick perlu dimasukkan jika bengkak teruk di dalam lubang telinga

Berapakah kos rawatan pembersihan telinga profesional di klinik pakar?

Rawatan profesional di klinik pakar THT adalah berpatutan, telus, dan merangkumi pemeriksaan visual yang tidak ditawarkan di klinik umum.

PerkhidmatanAnggaran Kos (RM)Catatan
Konsultasi Pakar THT (Termasuk Aural Endoskopi)RM 60 – RM 235Tiada caj tambahan untuk pemeriksaan endoskopi.
Prosedur Micro-suction (Kedua-dua belah telinga)Maksimum RM 370Kos maksimum untuk pembersihan lengkap di klinik.
KPJ Specialist Hospital registration desk with staff and patient exchanging documents

Bagaimana proses pembersihan telinga secara profesional (micro-suction) dilakukan oleh Dr Ameen di KPJ Ampang Puteri?

Prosedur ini menggunakan teknologi scope kamera untuk memastikan ketepatan dan mengelakkan kecederaan, berbeza dengan kaedah pancutan air (syringing) yang berisiko tinggi.

  • Visualisasi tepat: Menggunakan teleskop kamera Hopkins 0-degree bersaiz 2.7mm yang disambungkan kepada sistem kamera Storz untuk paparan saluran telinga yang jelas 4k.
  • Alat sedutan khusus: Mesin sedutan dari stesen kerja ENT Euroclinic dilengkapi dengan probe besi sedutan Zoellner atau Baron bersaiz 0.6mm hingga 2mm, membolehkan pembersihan tepat tanpa menyentuh dinding saluran.
  • Keselamatan kanak-kanak: Untuk bayi dan kanak-kanak, probe sedutan PVC fleksibel size 6Fr (amat kecil) yang diubah suai dengan hujungnya (Tip) yang lembut digunakan untuk mengurangkan risiko kecederaan saluran dan gegendang telinga.
  • Jangkaan pemulihan: Pendengaran pulih serta-merta selepas tahi telinga disedut. Jika saluran telinga ada jangkitan dengan saluran yang bengkak pula, pendengaran akan pulih dalam masa 1 minggu, dengan bengkak akan berkurang dengan ketara dalam tempoh 1 bulan.
Teleskop kamera Hopkins 0-degree bersaiz 2.7mm
Probe besi sedutan Baron bersaiz 0.6mm hingga 2mm

Bilakah saya perlu berjumpa doktor pakar ENT dengan segera?

Jangan menunggu sehingga gejala menjadi kronik atau menyebabkan kehilangan pendengaran yang teruk dan lama. Dapatkan pemeriksaan pakar ENT jika anda mengalami tanda-tanda berikut.

  • Sakit telinga yang tiba-tiba atau berdenyut.
  • Keluar cecair, nanah, atau darah dari saluran telinga.
  • Kehilangan pendengaran mendadak atau rasa telinga ‘penuh’ yang tidak hilang selepas beberapa hari.
  • Rasa gatal yang berterusan lebih daripada 3 hari walaupun telinga tidak dikorek.
  • Bunyi berdesing (tinnitus) yang baru atau semakin teruk.
Woman seated in an examination chair touching her ear in a clinic

Soalan Lazim (FAQ)

1. Bolehkah saya guna ubat titik telinga untuk cairkan tahi telinga sendiri? Ya, ubat titik pencair tahi telinga boleh digunakan untuk kes yang ringan. Namun, ia dilarang sama sekali jika anda mempunyai sejarah gegendang telinga berlubang atau sejarah memasukkan tiub grommet, kerana cecair boleh masuk ke telinga tengah dan menyebabkan jangkitan teruk.

2. Adakah pembersihan telinga secara micro-suction sakit? Tidak. Prosedur ini tidak menyakitkan, kecuali jika telinga anda ada jangkitan dan bengkak. Jika tahi telinga anda amat keras, sedikit rasa sakit akan dirasai kerana tahi telinga tersebut melekat di lubang telinga dan gegendang telinga anda. Anda juga akan mendengar bunyi bising ringan semasa alat sedutan beroperasi, tetapi ia jauh lebih selesa dan selamat berbanding kaedah pancutan air.

3. Berapa kerap saya perlu periksa telinga di klinik pakar? Bagi individu yang sihat, pemeriksaan rutin tidak diperlukan kerana telinga ada mekanisma pembersihan tersendiri. Namun, jika anda pengguna alat bantu pendengaran, mempunyai saluran telinga sempit, atau sejarah tahi telinga keras, pemeriksaan setiap 6 bulan adalah disyorkan.

4. Kenapa telinga saya rasa gatal selepas mandi? Rasa gatal selalunya berpunca daripada kelembapan yang terperangkap atau kulit yang menjadi terlalu kering akibat terlalu kerap dikorek. Mengorek untuk menghilangkan gatal hanya akan membuang minyak semula jadi didalam telinga, menjadikan kulit lebih kering dan lebih gatal!

5. Adakah pembersihan telinga di salon atau kedai gunting rambut selamat? Tidak. Kakitangan di ‘premis bukan perubatan’ tidak mempunyai latihan untuk mengenal pasti anatomi telinga, tiada peralatan endoskopi, dan alat yang digunakan mungkin tidak disterilkan/dicuci dengan betul. Ia boleh meningkatkan risiko jangkitan dan kecederaan gegendang telinga.


Tentang Penulis Artikel

Dr Ameen
Consultant ENT, Head & Neck Surgeon
KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Kuala Lumpur

Qualifications:
MB BCh BAO Hons (Ire), Master of Otorhinolaryngology (UKM)

Clinical interests:
• Sinus & nasal disorders
• Ear disorders
• Tonsillitis
• Hearing loss
• Allergic rhinitis
• Snoring & Sleep Apnea
• Head & neck conditions

Published: Monday, October 05, 2026
Last reviewed: Monday, October 05, 2026
Professional profile: https://kpjhealth.com.my/ameen-saiful-azhar

Leave a Reply