Ditulis oleh Dr Ameen, Pakar ENT KL
Pendarahan hidung (Epistaxis) selalunya kelihatan lebih teruk daripada keadaan yang sebenar. Ia adalah antara sebab paling kerap pesakit datang ke klinik saya terutamanya kanak-kanak. Ia biasanya bermula di bahagian depan hidung dan berhenti sendiri dalam beberapa minit. Namun sebenarnya, pendarahan hidung ialah cara badan anda nak minta tolong!
Punca biasa yang saya lihat di klinik:
- Mengorek hidung atau menghembus hidung terlalu kuat
- Udara terlalu kering (daripada kipas dan penyaman udara)
- Alergi resdung, selsema dan jangkitan sinus
- Penggunaan semburan hidung ‘decongestant’ berlebihan
- Terhentak atau trauma pada hidung
- Ubat pencair darah seperti aspirin
- Tekanan darah tinggi
- Objek asing dalam hidung kanak-kanak

Kajian menunjukkan kira-kira 90 % pendarahan hidung berpunca dari bahagian depan hidung, iaitu kawasan yang dipanggil Kiesselbach Plexus (Little’s area) oleh doktor. Pendarahan di bahagian depan ini biasanya berhenti dengan memberikan tekanan lembut pada hidung hadapan anda selama sepuluh minit.
Pendarahan dari bahagian belakang hidung lebih jarang tetapi lebih banyak atau deras, dan biasanya berkaitan dengan tekanan darah tinggi (terutama di kalangan orang dewasa).

Jumpa saya, jika:
- Pendarahan berlarutan lebih 20 minit walaupun hidung ditekan kuat
- Pendarahan banyak atau anda asyik menelan darah
- Pendarahan berulang selama bermingu-minggu
- Anda mengambil ubat pencair darah
- Anda mudah lebam atau rasa pening

Satu tip terakhir: Jangan dongakkan kepala ke belakang. Duduk tegak, condong sedikit kepala ke hadapan, tunduk sedikit dan picit bahagian lembut (cartilage) hidung. Dan jika mana-mana perkara di atas berlaku kepada anda, jangan abaikan dan terus datang berjumpa saya atau mana-mana Pakar ENT.
Tempah janji temu untuk berjumpa saya jika anda mempunyai masalah ini: https://www.kpjhealth.com.my/ameen-saiful-azhar







Leave a Reply