Ditulis oleh Dr Ameen, Pakar ENT KL
Hidung tersumbat yang berlarutan selama berminggu-minggu, jarang sekali hanya selsema biasa. Ia antara komplen yang paling kerap saya dengar di klinik. Jika anda berdengkur kuat atau tidur dengan mulut terbuka, ada benda lain sedang berlaku dalam hidung anda.
Punca biasanya ialah:
– Resdung
– Tulang hidung (septum) bengkok
– Turbinate hidung membengkak
– Polip hidung
– Kronik sinus.
Alergik menyebabkan bengkak dalam hidung (Simptom resdung). Septum bengkok atau polip menghalang aliran udara. Ramai pesakit saya ada masalah-masalah ni, sebab tu kalau buat rawatan hidung sendiri jarang berkesan.

Bukti saintifik (Ulasan Cochrane) mengesahkan spray hidung steroid mengurangkan sumbatan akibat resdung dan polip hidung dengan ketara, serta selamat untuk jangka panjang jika digunakan dengan betul. Namun, tiada semburan dapat membetulkan septum bengkok. Masalah struktur kadang-kadang memerlukan pembedahan Septoplasty.

Juga, anda jangan bergantung kepada semburan hidung “Decongestant” farmasi lebih daripada seminggu. Ia merawat simptom, bukan punca. Penggunaan berlebihan menyebabkan hidung membengkak semula dan sumbatan menjadi lebih teruk (Baca: Rhinitis Medicamentosa).
Jika hidung anda tersumbat lebih dari tiga minggu, atau anda mengalami sakit kepala, muka, hilang deria bau atau berdengkur kuat, dapatkan pemeriksaan daripada Pakar ENT. Pemeriksaan Scope (Teropong hidung) di klinik dapat mengenal pasti punca sebenar masalah hidung sumbat supaya rawatan anda benar-benar berkesan. Bernafas dengan baik bukan satu kemewahan, ia mempengaruhi kualiti tidur, tenaga dan aktiviti harian anda.

Tempah janji temu untuk berjumpa saya jika anda mempunyai masalah ini: https://www.kpjhealth.com.my/ameen-saiful-azhar







Leave a Reply